Rabu, 2 Februari 2022

PdPC SAINS-STEM : KERETA FORMULA SATU (KELAJUAN)

Kelajuan bermaksud ukuran cepat atau lambat sesuatu pergerakan dari suatu tempat ke tempat yang lain. Faktor jarak, sesuatu objek dikatakan lebih laju jika ia bergerak lebih jauh dalam suatu tempoh masa yang sama. Faktor masa, sesuatu objek dikatakan lebih laju jika ia mengambil masa yang lebih singkat untuk bergerak dalam suatu jarak yang sama. 

Objektif : 
1. Murid boleh menjelaskan maksud kelajuan.
2. Murid boleh membuat kesimpulan tentang hubungan kelajuan dengan jarak dan masa.
3. Murid boleh membina satu model kereta daripada bahan kitar semula.

Aktiviti :
1. Murid menjelaskan maksud kelajuan dan membuat banding-beza antara objek yang laju dan perlahan.
2. Murid mendengar penerangan dan memerhati model kereta yang dibuat oleh guru.
3. Murid mula membina katapult dengan menggunakan bahan – bahan yang disediakan.
4. Murid membuat penerangan tentang model kereta yang dibina.
5. Murid menjalankan aktiviti perlumbaan antara model kereta yang dibina. 
6. Murid membuat nota kreatif gambar berlabel tentang model kereta yang dibina.

Bahan Bantu Belajar :
Peralatan seperti gunting, gam, pita selofan. Bahan – bahan seperti botol mineral 500 ml, penutup botol, lidi, belon, penyedut minuman.

Nota : 
Aktiviti PdPC ini memberi peluang kepada murid – murid untuk membina model kereta yang boleh bergerak dengan baik dan lancar. Murid bebas berkreativiti dari segi kedudukan penyedut minuman dan belon yang menjadi ‘enjin’ kepada model kereta mereka. Di sini juga murid boleh membuat kesimpulan bahawa udara yang dikeluarkan dari belon menerusi penyedut minuman boleh menghasilkan daya tolakan yang menyebabkan model kereta bergerak. Melatih kemahiran tangan untuk melekat, memasang roda (penutup botol) pada gandar (lidi), memasang belon pada penyedut minuman, serta melekatkan penyedut minuman pada kedudukan yang sesuai pada badan model kereta (botol mineral). Ketelitian memasang gandar menentukan model kereta boleh bergerak lurus ke hadapan.

Antara contoh – contoh model kereta formula satu – Murid tahun 6 sesi 2021/2022









Jika ada sekolah (terutama sekolah rendah) yang ingin mendapatkan khidmat Cikgu Azmi untuk menjalankan aktiviti STEM secara bersemuka atau dalam talian, boleh hubungi Cikgu Azmi di talian 0132795903.

Seronok Sains
Berkreatif dengan ilmu
Kongsi Ilmu, Hidup Berkat

Selasa, 1 Februari 2022

PdPC SAINS-STEM : KATAPULT (MESIN RINGKAS TUAS, DAYA)

Katapult adalah sebuah alat balistik yang melancarkan objek atau peluru pada suatu jarak tertentu tanpa menggunakan serbuk letupan atau bahan dorong.

Objektif : 
1. Murid boleh membina satu katapult yang menggunakan atau mengaplikasikan prinsip mesin ringkas tuas.
2. Murid menggunakan pengetahuan getah bersifat kenyal memastikan katapult yang dibina berfungsi.
3. Murid menyatakan bahawa salah satu kesan daya iaitu daya boleh menggerakkan objek yang pegun.

Aktiviti :
1. Murid memerihalkan prinsip mesin ringkas tuas. Tuas terdiri daripada 3 bahagian iaitu beban, daya dan fulkrum.
2. Murid mendengar penerangan dan memerhati demonstrasi oleh guru cara membina katapult.
3. Murid mula membina katapult dengan menggunakan bahan – bahan yang disediakan.
4. Murid membuat penerangan tentang katapult mereka yang merangkumi prinsip mesin ringkas tuas, sifat bahan getah dan juga kesan daya.
5. Murid membuat nota kreatif bergambar tentang katapult.

Bahan Bantu Belajar :
Peralatan seperti gunting dan bahan - bahan seperti batang ais krim dan getah.

Nota : 
Aktiviti PdPC ini memberi peluang kepada murid – murid untuk bijak berfikir secara kreatif untuk mencapai objektif mereka. Katapult perlu berfungsi untuk melancarkan objek agar bergerak ke hadapan. Murid bebas menghasilkan pelbagai bentuk katapult. Melatih kemahiran tangan untuk mengikat batang ais krim menggunakan getah bagi membina katapult yang kukuh dan boleh berfungsi.

Antara contoh – contoh model katapult – Murid tahun 5 sesi 2021/2022








Jika ada sekolah (terutama sekolah rendah) yang ingin mendapatkan khidmat Cikgu Azmi untuk menjalankan aktiviti STEM secara bersemuka atau dalam talian, boleh hubungi Cikgu Azmi di talian 0132795903.

Seronok Sains
Berkreatif dengan ilmu
Kongsi Ilmu, Hidup Berkat